Wednesday, November 16, 2011

Susu Ibu Sebatian Ajaib

Print
alt
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada Aku-lah tempat kembalimu." (Surah Luqman, ayat 14)
Air susu ibu ialah satu sebatian tiada tandingan yang diciptakan oleh Allah demi memenuhi keperluan nutrisi bayi dan melindunginya daripada sebarang jangkitan. Keseimbangan makanan berkhasiat dalam air susu ibu adalah pada kadar yang tepat dan bersesuaian dengan tubuh bayi yang belum matang.
Pada masa yang sama, air susu ibu juga kaya dengan nutrien yang mempercepat pertumbuhan sel-sel otak dan perkembangan sistem saraf. Makanan buatan untuk bayi yang disediakan dengan bantuan teknologi masa kini tidak dapat menggantikan makanan ajaib ini.
Memantapkan Sistem Imunisasi
Senarai manfaat air susu ibu kepada bayi bertambah setiap hari. Kajian menunjukkan bahawa bayi-bayi yang diberi minum air susu ibu terlindung daripada penyakit berkaitan sistem pernafasan dan penghadaman. Ini kerana antibodi-antibodi yang terdapat di dalam air susu ibu menyediakan satu perlindungan langsung daripada jangkitan. Sifat anti-infeksi lain air susu ibu adalah menyediakan satu persekitaran sesuai untuk bakteria "bermanfaat" yang dipanggil sebagai "flora normal" sekaligus menangkis serangan bakteria, virus dan parasit berbahaya. Tambahan pula, didapati bahawa terdapat beberapa unsur di dalam air susu ibu yang mengawal sistem imunisasi terhadap penyakit berjangkit dan membolehkannya berfungsi dengan lebih teratur.
Kaya Dengan Nutrisi
Oleh kerana air susu ibu telah direka secara khusus, ia merupakan makanan yang paling mudah dihadam oleh bayi. Selain kaya dengan nutrisi, ia juga mudah dihadam oleh sistem penghadaman bayi yang sensitif. Memandangkan bayi menggunakan sedikit sahaja tenaga untuk mencerna air susu ibu, maka tenaga selebihnya dapat disalurkan untuk fungsi tubuh yang lain, pertumbuhan dan perkembangan organ.
Air susu ibu yang mempunyai bayi pra-matang mengandungi tahap zat lemak, protein, natrium, klorida dan besi yang lebih tinggi untuk menampung keperluan bayi. Ianya telah dibuktikan bahawa fungsi mata bayi pra-matang yang diberi minum air susu ibu adalah lebih baik dan lebih cemerlang dalam ujian kecerdasan. Tambahan pula, mereka turut memiliki banyak kelebihan lain.
Omega-3
Kandungan minyak omega-3 asid alfa linoleat menjadikan air susu ibu penting untuk perkembangan bayi. Selain menjadi sebatian penting untuk otak dan retina manusia, ia juga amat mustahak bagi bayi-bayi yang baru dilahirkan. Omega-3 secara khusus penting sepanjang masa kehamilan dan peringkat awal usia bayi demi perkembangan otak dan saraf yang normal. Ramai saintis menegaskan kepentingan air susu ibu terutamanya sebagai satu sumber omega-3 semulajadi dan sempurna.
Mengurangkan Risiko Sakit Jantung
Selain daripada itu, kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis Universiti Bristol, United Kingdom mendapati bahawa antara kebaikan jangka panjang air susu ibu adalah kesan positifnya terhadap tekanan darah, yang mana ia dapat mengurangkan risiko serangan jantung. Kumpulan penyelidik tersebut menyimpulkan bahawa sifat perlindungan yang terdapat di dalam air susu ibu disebabkan oleh kandungan nutrisinya. Menurut hasil kajiannya yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Circulation, bayi yang diberi minum air susu ibu kurang berisiko menghidap penyakit jantung.
Kehadiran rantaian panjang asid lemak poli tidak tepu (polyunsaturated fatty acids) dalam air susu ibu (untuk mencegah pengerasan arteri) dan hakikat bahawa bayi yang diberi minum air susu ibu menggunakan sedikit natrium (berkait rapat dengan tekanan darah) serta tidak mengalami pertambahan berat badan berlebihan merupakan antara cara air susu ibu memberi manfaat kepada jantung.
Sebagai tambahan, satu pasukan diketuai oleh Dr. Lisa Martin, dari Pusat Perubatan Hospital Kanak-kanak Cincinnati di Amerika, telah menemui kadar kandungan hormon protein (adiponectin) yang tinggi dalam air susu ibu.
Kandungan adiponectin yang tinggi dalam darah dikaitkan dengan kurangnya risiko serangan jantung. Tahap adiponectin yang rendah ditemui pada orang yang mengalami kegemukan dan berisiko tinggi mengalami serangan penyakit jantung. Maka disepakati bahawa bayi yang diberi air susu ibu mempunyai risiko kegemukan yang rendah dengan kehadiran hormon ini.
Tambahan pula, mereka juga menemui sejenis hormon yang dipanggil sebagai leptin dalam air susu ibu yang mempunyai peranan utama dalam metabolisme lemak. Leptin dipercayai berfungsi menyampaikan isyarat kepada otak bahawa terdapat lemak pada tubuh. Berdasarkan pendedahan Dr. Martin, hormon-hormon yang diserap semasa peringkat bayi melalui air susu ibu dapat menurunkan risiko pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes tahap dua dan daya tahan insulin, serta penyakit jantung koronari.
Fakta tentang "Makanan Tersegar"
Fakta-fakta tentang air susu ibu tidak tamat di sini. Sumbangannya terhadap kesihatan bayi berkembang mengikut fasa pertumbuhan bayi dan kandungannya berubah demi memenuhi keperluan nutrisi bayi mengikut peringkat-peringkat tertentu. Unsur gula dan lemak dalam air susu ibu, yang sentiasa tersedia dan pada suhu yang sesuai, memainkan peranan penting dalam perkembangan otak. Tambahan pula, elemen lain seperti kalsium turut memberi sumbangan dalam perkembangan tulang-tulang bayi.
Meskipun dinamakan susu, namun sebahagian besar sebatian ajaib ini sebenarnya terdiri daripada air. Ini merupakan ciri terpenting kerana selain daripada makanan, bayi juga memerlukan cairan dalam bentuk air. Kebersihan sepenuhnya tidak mungkin didapati dalam air atau bahan makanan selain daripada air susu ibu. Namun air susu ibu yang merangkumi 90% air dan tidak kurang, memenuhi keperluan air bayi dalam cara yang paling bersih dan sihat.
Susu Ibu dan Kecerdasan
Kajian saintifik membuktikan bahawa pembangunan kognitif di kalangan bayi-bayi yang diberi air susu ibu adalah lebih hebat berbanding bayi lain. Satu analisis perbandingan berkaitan dengan bayi yang diberi air susu ibu dan bayi yang diberi susu formula oleh James W. Anderson—seorang pakar dari Universiti Kentucky—mendapati bahawa minda bayi yang diberi minum air susu ibu adalah lima kali lebih tinggi berbanding dengan bayi lain. Hasil daripada kajian ini, didapati bahawa kecerdasan diperoleh daripada air susu ibu sehingga enam bulan, dan bayi yang disusui kurang daripada lapan minggu tidak menunjukkan sebarang kesan dari segi kecerdasan minda.
Benarkah Air Susu Ibu Menentang Kanser?
Hasil daripada kesemua kajian yang dijalankan, terbukti bahawa air susu ibu, yang ratusan penulisan mengenainya telah diterbitkan, melindungi bayi daripada kanser. Hakikat ini telah diketahui meskipun mekanismenya belum difahami sepenuhnya. Sewaktu sebuah protein dari air susu ibu membunuh sel-sel tumor yang dibiakkan dalam makmal tanpa merosakkan sebarang sel sihat, para pengkaji menyatakan bahawa satu potensi yang hebat telah ditemui.
Catharina Svanborg, seorang profesor imunologi klinikal Universiti Lund di Sweden, ialah ketua kumpulan peneliti yang menemui rahsia ajaib air susu ibu ini. Pasukan tersebut menerangkan keupayaan air susu ibu dalam menyediakan perlindungan terhadap pelbagai bentuk kanser sebagai satu penemuan yang menakjubkan.
Pada mulanya, para peneliti mengkaji sel-sel lendir usus yang diambil daripada bayi-bayi yang bari dilahirkan dengan air susu ibu. Mereka mendapati bahawa penyakit pneumonia yang diakibatkan oleh bakteria Pneumococcus dapat dihentikan dengan berkesan oleh air susu ibu. Bahkan bayi yang diberi air susu ibu amat kurang mengalami masalah pendengaran berbanding bayi yang diberi minum susu formula dan risiko jangkitan penyakit pernafasan yang terlalu rendah.
Selepas beberapa siri penyelidikan, didapati bahawa air susu ibu juga memberi perlindungan terhadap kanser. Setelah menunjukkan bahawa kanser limfa di kalangan kanak-kanak yang diberi susu formula semasa fasa kanak-kanak berlaku sembilan kali ganda, mereka menyedari bahawa hasil yang sama juga berlaku untuk pelbagai jenis kanser yang lain.
Berdasarkan keputusan tersebut, air susu ibu berupaya mengenal pasti sel-sel kanser secara tepat lalu memusnahkannya. Zat bernama alpha-lac (alphalactalbumin) yang banyak di dalam air susu ibu menjejak dan membunuh sel-sel kanser. Alpha-lac dihasilkan oleh sejenis protein yang membantu pengeluaran gula laktosa dalam air susu ibu.
Rahmat Tiada Bandingan Ini adalah Satu Anugerah dari Allah
Satu lagi ciri menakjubkan air susu ibu adalah hakikat bahawa ia amat bermanfaat untuk diberi kepada bayi selama dua tahun terawal.
Maklumat penting yang hanya diketahui oleh sains baru-baru ini, telah dinyatakan oleh Allah 14 kurun yang lalu melalui ayat:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang menyempurnakan penyusuan itu; ..." (Surah Al-Baqarah, ayat 233)
Si ibu tidak merancang untuk menghasilkan air susu ibu, sumber khasiat terbaik untuk bayi tidak berdaya yang memerlukan makanan dalam kandungannya, serta tidak menentukan tahap pelbagai nutrisi di dalamnya. Allah Yang Maha Kuasa, Yang Maha Mengetahui keperluan setiap makhluk dan mengasihi mereka, Yang menciptakan air susu ibu untuk bayi di dalam tubuh si ibu.
- Artikel iluvislam.com

Thursday, November 10, 2011

Hukum Urusniaga Dengan Syarikat yahudi: Makan, Jual, Beli


(Artikel ini ditulis pada tahun 2007, adapun di ketika Yahudi Israel menyerang Palestin dengan kejam hari ini, tindakan boikot adalah amat wajar dilakukan- uzar pada 9 Jan 09)
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Begitu banyak soalan yang datang kepada saya dan kedengaran di sana sini berkenaan hukum membeli barangan halal yang dikeluarkan oleh syarikat Yahudi khususnya dan bukan Islam umumnya. Ia menjadi satu persoalan yang semakin hangat disebabkan sikap Yahudi yang berterusan menyerang negara umat Islam. Demikian juga Amerika.
Saya ada terbaca kempen dari orang awam dan beberapa ilmuan yang mewarwarkan hukum haram jika membeli barangan dari syarikat yang dimiliki oleh Yahudi sepenuhnya atau salah seorang pemilik syarikat tersebut adalah Yahudi.
Syarikat Yahudi semua haram kita berjual beli?Akibatnya timbul kempen memboikot syarikat-syarikat tertentu dan boikot yang disebarkan melalui email dan internet. Syarikat seperti McDonald, Kentucky Fried Chickhen, TESCO dan lain-lain syarikat yang dikatakan dimiliki oleh Amerika, Yahudi atau mempunyai hubungan dengan mereka secara langsung atau tidak langsung adalah syarikat yang kerap dijadikan bahan utama.
Tidak terkecuali juga beberapa buah syarikat yang dimiliki oleh bukan Islam seperti Maxis dan lain-lain. Saya juga pernah membaca dan mendengar ada yang berusaha menimbulkan semangat berkobar-kobar sehingga berkata bahawa sesiapa yang membeli dan menggunakan khidmat syarikat-syarikat ini maka samalah seperti membantu agama mereka, membunuh umat Islam dan banyak lagi. Adakah ini benar dari sudut pandangan Islam?.
Saya berharap tulisan ringkas saya ini dapat menjelaskan keadaan dan ia adalah berdasarkan pandangan beberapa nas dan pandangan ulama kontemporari. Saya tidak berhasrat untuk menulis panjang dan tulisan ini bukanlah sebuah kajian ilmiah bertaraf univeristi. Ia hanya jawapan yang diringkas dan dipermudahkan bagi bacaan orang awam sahaja. Saya juga tiada sebarang kepentingan dalam semua syarikat yang disebutkan namanya di atas dan yang lainnya, tulisan ini adalah dibuat atas dasar penyebaran ilmu Islam di atas landasan ilmu sahaja.
Asas Hukum
Pertamanya, elok kiranya saya cuba menjelaskan hukum berjual beli dengan orang Yahudi atau dengan mana-mana syarikat yang dimiliki oleh individu Yahudi. Bagi mendapatkan kejelasan dalam isu ini, fakta berikut perlu difahami sebaiknya:-
a) Allah SWT menghalalkan umat Islam memakan sembelihan ahli kitab yang di antara mereka adalah Yahudi. Ini bermakna berurusan dengan Yahudi dan barangan yang dihasilkannya selagi menepati kehendak Allah adalah diharuskan.
b) Allah SWT juga menghalalkan lelaki Islam untuk berkahwin dengan wanita Ahli Kitab yang suci dan baik dengan syarat ia bertujuan kebaikan kepada wanita tersebut. Perihal halal berkahwin dan makan sembelihan ahli Kitab termasuk Yahudi ini disebut dengan jelas dalam ayat berikut : -
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ
Ertinya : "Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar maskawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik.." ( Al-Maidah : 5 )
Jika perkahwinan dibenarkan, sudah tentu jual beli lebih lagi akan termasuk dalam kategori dibenarkan oleh Islam (selagi mana menurut syarat jual beli Islam).
c) Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-
‏أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ
Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)
Imam Bukhari menamakan bab yang mengandungi hadith ini dengan nama
بَاب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ
Ertinya : Bab berjual beli dengan kafir musyrikin dan musuh perang.
Kemudian Imam Ibn Hajar Al-Asqolani pula dalam huraiannya menyatakan :-
واستدل به على جواز بيع السلاح من الكافر
Ertinya : Dan dalil ini dijadikan dalil bagi keharusan MEMBELI senjata dari orang kafir. ( Fath Al-Bari, Ibn Hajar, 5/142 )
Ini adalah kerana apabila Nabi Muhammad SAW mencagarkan baju besi baginda yang hanya digunakan untuk berperang, ini membuktikan hukum berjual beli dengan bukan Islam termasuk Yahudi adalah harus selagi mana cara aqad dan urusniaganya bertepatan dengan kehendak Islam. Hadis ini boleh dikatakan hujjah terkuat bagi membenarkan umat Islam membeli barangan keperluan dari Yahudi hatta makanan dengan cara berhutang sekalipun.
Ijma ( Sepakat ) Keharusan
Manakala Imam An-Nawawi pula ketika mensyarahkan hadith yang sama menyatakan :-
فيه جواز معاملة أهل الذمة والحكم بثبوت املاكهم على مافي أيديهم ...وبه قال الشافعي ومالك وأبو حنيفة وأحمد والعلماء كافة
Ertinya : hadith ini menunjukkan harusnya berurusan dengan ahli Zimmah ( kafir yang bukan tentera yang berperang dengan Islam) dan hukum ini membawa erti sabitnya pemilikan barangan itu oleh mereka...dan demikian ini adalah pandangan Imam As-Syafie, Imam Malik dan Abu Hanifah serta Imam Ahmad dan seluruh ulama" ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40 )
Imam An-Nawawi menyambung :
وأما اشتراء النبي الطعام من اليهودي ورهنه عنده دون الصحابة فقيل فعله بيانا لجواز ذلك وقيل لأنه لم يكن هناك طعام فاضل عن حاجة صاحبه الا عنده وقيل لأن الصحابة لا يأخذون رهنه صلى الله عليه وسلم ولا يقبضون منه الثمن فعدل إلى معاملة اليهودي لئلا يضيق على أحد من أصحابه
Ertinya : Nabi membeli makanan dari Yahudi serta mencagarkan baju besinya dan tidak dilakukan kepada sahabat adalah dikatakan sebagai tanda keharusan melakukan demikian (berurusan dengan Yahudi dan bukan Islam walaupun terdapat orang Islam), sebahagian ulama yang lain pula mengatakan (nabi tidak beli dari sahabat) kerana mereka tiada makanan lebihan untuk dijual kepada nabi, ada juga yang mengatakan para sahabat tidak menerima cagaran Nabi serta tidak mahu menerima sebarang bayaran dari Nabi sehingga menyebabkan Nabi berurusan (kerana tidak mahu menyusahkan sahabatnya) dengan Yahudi agar tidak memberatkan sahabatnya. ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
وقد أجمع المسلمون على جواز معاملة أهل الذمة وغيرهم من الكفار إذا لم يتحقق تحريم ما معه لكن لا يجوز للمسلم أن يبيع أهل الحرب سلاحا وآلة حرب ولا يستعينون به في اقامة دينهم.
Telah ijma' atau sepakat seluruh umat islam keharusan urusan dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urusniaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka " ( Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
Justeru, telah ijma' berkenaan keharusan membeli dan menjual samada kepada Yahudi, Nasrani (Kristian), Buddha, Hindu dan lain-lain selagi mana mereka tidak terlibat secara langsung (dan rasmi) memerangi Islam, transaksi pula dilakukan bertepatan dengan Islam. Di samping hujah-hujah yang sohih di atas ia juga disokong lagi oleh sebuah hadis dhoif iaitu :-
روى الخلال بإسناده عن عطاء قال نهى رسول الله عن مشاركة اليهودي والنصراني إلا أن يكون البيع والشراء بيد المسلم
Ertinya : Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato' berkata : Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya ditangan orang Islam ( menuruti Shariah)" ( Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal : Ahkam Ahli Zimmah, 1/556 )
d) Para sahabat juga berurusan jual beli dengan orang kafir termasuk Yahudi. Bukan Nabi Muhammad SAW sahaja yang berurusan demikian, malah para sahabat baginda lebih kerap melakukannya dimana mereka juga terbabit dalam jual beli dengan Yahudi, Nasrani, Musyrik dan lain-lain. Sebagai bukti adalah firman Allah :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu khawatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu dari karunia-Nya
Ayat ini secara langsung memberikan kefahaman kepada kita bahawa para sahabat Nabi sebelum Allah SWT melarang orang kafir dari memasuki masjidil haram, mereka kerap dan cukup banyak berurusan samada jual atau beli dari si kafir dan yahudi.
Ini disebutkan oleh Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya :-
وكان المسلمون لما منعوا المشركين من الموسم وهم كانوا يجلبون الأطعمة والتجارات , قذف الشيطان في قلوبهم الخوف من الفقر وقالوا : من أين نعيش . فوعدهم الله أن يغنيهم من فضله .
Ertinya : Orang-orang Islam apabila Allah melarang orang Musryik dari masuk (berniaga) pada musim perniagan sedangkan mereka dulu lah yang membawa makanan dan pernigaaan, maka syaitan mulai melontarkan dalam hati umat Islam takut dan bimbang mereka akan jatuh faqir, ( kerana tiada pelanggan dan pembekal), sehingga ada antara mereka berkata : " Bagaimana kami nak hidup" , tatkala itu Allah SWT menjanjikan kepada mereka kurniaan rezeki dari sisiNya" ( Al-Jami' Li Ahkami Quran, 8/106 )
Imam Fakhruddin Ar-Razi pula menegaskan :
وحملوا الطعام إلى مكة وكفاهم الله الحاجة إلى مبايعة الكفار
Ertinya : Orang-orang Islam dari Jeddah, Sana'a dan Hunain itu membawa makanan ke Mekah (untuk dijual) dan Allah SWT mencukupkan mereka dengan jual beli dengan orang Kafir" ( Tafsir Al-Kabir, Ar-Razi, 16/22 )
Hasilnya, jelas bahawa para sahabat juga berurusniaga dengan orang kafir. Nabi SAW juga masih hidup tatkala itu dan membiarkan urusan itu tanpa sebarang larangan dan tegahan. Malah setelah kafir dikeluarkan dari masjidil haram, para sahabat masih berniaga dengan mereka di sebelah luar, bukti terjelas adalah tindakan Nabi SAW sendiri membeli makanan dari Yahudi, Nabi juga wafat dalam keadaan hutangnya belum selesai dengan Yahudi ini. Isu hutang Nabi ini dibincang panjang lebar oleh ulama silam. Saya tidak berhasrat mengulasnya di sini.
Saya kira kumpulan dalil dan huraian ringkas di atas sudah cukup untuk kita mendapat kefahaman hukum berkaitan ursniaga dengan Yahudi, syarikat yang dimiliki Yahudi atau lain-lain agama.
Agenda Boikot bagaimana?
Tidak dinafikan sama sekali bahawa umat Islam perlu melakukan sesuatu jika Yahudi atau lain-lainnya melakukan suatu jenayah dan kebiadapan terhadap Islam. Benar, umat Islam perlu bersatu padu dan bergabung kekuatan bagi memberikan pengajaran kepada mana-mana pihak yang memulakan kejahatan terhadap Islam. Saya juga tidak mahu melemahkan semangat kempen ini, cuma orang ramai perlu tahu antara hukum dan keutamaan. Jangan nanti jika ada di antara kita yang melihat rakan terlibat dengan mana-mana syarikat tadi lalu dituduhnya kafir, munafiq, pembantu Yahudi dan lain-lain.
jahat


Menurut para ulama kontemporari, cara yang dikira aman di zaman ini adalah dengan melakukan pemboikotan dari membeli barangan semua syarikat di bawah telunjuk mereka. Justeru, ia adalah salah satu cara yang paling berkesan buat orang awam islam di seluruh dunia.
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyatakan bahawa boikot seperti ini adalah bertujuan memberikan tekanan kepada pengusaha dan peniaga yang seangkatan dengan para penyerang agar mereka sendiri mendesak kerajaan mereka kepada keamanan selain mereka akan membenci tindakan kerajaan dan rakan seagama mereka yang melakukan kejahatan terhadap Islam.
Ia juga dijangka dapat memberikan kesan ekonomi yang buruk kepada negara mereka sekaligus membantutkan hasrat mereka untuk meneruskan kejahatan dan serangan terhadap Islam.
Walaubagaimanapun, adakah perlu kita menjadikan seluruh Yahudi di seluruh dunia tanpa mengira mereka membantu serangan atau tidak secara umum?. Atau bagaimana?
Menurut pendapat spontan saya, kita perlu membezakan di antara hukum dan keutamaan (afdhaliyah). Secara mudahnya, hukum berurusan dengan mereka sentaisa halal selagi mereka tidak terlibat secara langsung dengan peperangan, cuma yang afdhalnya tidak berurusan tatkala Islam sedang diserang oleh bangsa mereka. Bagi memahami hal ini, perkara berikut perlu dilihat :-
1) Hukum asal urusniaga dengan Non-Muslim termasuk Yahudi dan semua syarikatnya adalah halal selagi transaksi yang dibuat menrut syarat jual beli Islam.
2) Kewujudan syarikat-syarikat ini di negara Yahudi dan MoU perniagaannya di negara Yahudi tidak boleh dianggap sebagai membantu kerja keganasan Yahudi. Justeru, sebarang pembuktian seperti ini tidak kuat untuk mensabitkan bantuan 'direct' kepada kerja jahat Yahudi atau lainnya.
3) Hukum asal ini hanya akan bertukar kepada haram berurusniaga atau wajib memboikot mereka jika :-
a- Pemerintah Islam tertinggi iaitu Khalifah bagi seluruh dunia Islam mengarahkan boikot demi mencapai maslahat tertentu untuk Islam. Ia adalah kerana Allah SWT memerintahkan umat Islam agar mentaati pemerintah dalam hal ehwal yang tidak bercanggah dengan Islam. Peirntah ini tercatat di dalam Al-Quran. Hal ini dapat dilihat dalam tindakan Khalifah Umar al-Khattab yang mengarahkan seorang sahabat agar menceraikan isterinya dari kalangan Ahli Kitab dari negara Rome atas dasar 'maslahat' iaitu untuk menjaga kepentingan wanita Muslimat di ketika itu. Tatkala itu, perkara harus tadi sudah menjadi larangan sementara waktu disebabkan arahan pimpinan Islam (Nizam Al-Usrah Fil Islam, Dr Uqlah)
Malangnya di ketika tiadanya seorang khalifah yang bertanggung jawab bagi seluruh umat islam, adalah sukar untuk menggunakan peruntukan kewajiban ini. Sekadar fatwa ulama besar seperti Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi masih tidak mampu menjadikan hukum boikot sebagai wajib buat setiap individu umat Islam. Ia masih berada dalam lingkungan 'afdhal' atau 'elok' sahaja dan tidak wajib untuk boikot dan tidak haram untuk terus berurusniaga.
Tiada Khalifah Islam
Di waktu tiadanya khalifah tertinggi Islam, menurut Prof. Dr Syeikh Muhammad 'Uqlah El-Ibrahim (Prof Fiqh di Jordan), tugas 'ulil amri' itu jatuh kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing. Jika demikian, Sultan, Perdana Menteri atau JAKIM adalah wakil urusan tersebut di Malaysia, maka sekiranya ada di antara pihak ini menyatakan keperluan boikot secara rasmi, tatkala itu adalah wajib ke atas setiap individu umat Islam di malaysia untuk memboikotnya. Jika tidak, adalah sukar didapati sebarang nas yang khusus lagi tepat cara pendalilannya bagi menjatuhkan hukuman wajib ke atas setiap umat Islam secara individu.
Justeru, di ketika tiadanya arahan rasmi dari kepimpinan sesebuah negara umat Islam, tindakan melakukan boikot tersebut adalah tergolong dari tindakan yang 'digalakkan' sahaja serta mendapat pahala sudah tentu bagi sesiapa yang melakukannya dengan niat yang betul. Iaitu mengutamakan barangan buatan umat Islam dan peniaga Islam disamping 'mendenda' syarikat milik Yahudi. Bagaimanapun, dari sudut hukum adalah tidak haram makan di McDonald, KFC dan membeli barangan harian dari mana-mana kedai dan pasaraya milik bukan Islam selagi mana barangan itu mempunyai tanda 'Halal' JAKIM dan yang diiktiraf serta belum tamat tempohya.
Dalil keutamaan ini antaranya adalah :-
جَاهِدُوا الْمُشْرِكِينَ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَأَلْسِنَتِكُم
Ertinya : "Berjihadlah kamu menentang orang musryikin itu dengan harta kamu, dan diri kamu serta lidah kamu" ( Riwayat Abu Daud, no 2504, 3/10 ; Albani : Sohih )
Perbezaan & Perkembangan Baru
Cuma, di zaman kewujudan jemaah-jemaah Islam yang pelbagai di dalam negara Malaysia, pada hemat saya, sekiranya anda seorang yang komit dan telah memberikan satu 'bai'ah' atau janji setia dengan kepimpinan persatuan anda seperti ABIM, JIM, PAS, TABLIGH, HIZB TAHRIR, PPIM atau lainnya, dan mereka mewajibkan ahli mereka agar boikot. Tatkala itu mungkin boleh diperbincangkan hukumnya samada telah menjadi wajib ke atas ahli mereka atau tidak. Saya tidak berhasrat untuk membincangkannya di sini kerana ia akan memanjangkan tulisan ini. Mungkin ia lebih elok ditulis oleh tokoh-tokoh pimpinan persatuan dan jemaah tadi sendiri.
b- Syarikat tersebut mendedahkan secara terus terang dengan hebahan rasmi bahawa mereka memperuntukkan keuntungan mereka bagi menyokong serangan Yahudi ke atas negara umat Islam.
Ia seperti yang dilakukan oleh Starbuck dan lain-lain. Dan pendedahan ini mestilah jelas dan bukannya khabar angin tanpa hitam putih. Tatkala itu ia sudah termasuk alam hukum menjual senjata kepada tentera musuh yang menyerang Islam yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab al-Majmu sebagai haram secara sepakat ulama.
contoh
Syarat Sebelum Sebaran
Perlu diingat, selagi tiada edaran khusus, specifik dan rasmi oleh syarikat terbabit yang menyatakan mereka menyokong dan membantu serangan atas nama syarikat, selagi itu hukum asal iaitu harus berurusniaga dengan syarikat itu akan tetap terpakai.
Sekadar salah seorang pemegang saham bertindak sendirian membantu pembinaan kuil, atau membantu serangan oleh Yahudi juga belum cukup kuat untuk mengubah hukum harus tadi kepada haram. Ini kerana ia adalah tindakan peribadi salah seorang pemegang saham sahaja dan bukannya polisi sebuah syarikat itu.
Jika sekadar maklumat tidak rasmi dan khabar angin sahaja yang menyebut kaitan syarikat dengan gerakan ganas Yahudi. Tatkala itu, kaedah fiqh ini masih terpakai :-
أن اليقين لا يزال بالشك
Ertinya : Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu syak ( iaitu tidakpasti kebenarannya) ( Al-Majmu, Al-Nawawi, 1/266 )
Perlu difahami hukum asal harus berurusniaga dan membeli dari bukan Islam dan Yahudi adalah termasuk dalam bab yakin, ia tidak akan tergugat hanya dengan khabar-khabar angin penglibatan mereka dalam aktiviti serangan ke atas Islam. Keyakinan asal tadi hanya akan berubah bila dua sebab yang disebut di atas muncul. Wallahu'alam.
Kesimpulan umum :
Harus jual beli, guna khidmat dan makan di McDonald, KFC, TESCO, JUSCO, MAXIS, INTEL dan lain-lain produk walauapun berasal dari Yahudi atau Non-Muslim selagi mana : -
a) produk mereka disahkan bersih dan halal oleh JAKIM ( jika di Malaysia) serta tempoh lesen masih hidup,
b) cara transaksi dan urusniaga yang dibuat adalah bertepatan dengan Islam,
c) tiada sebarang perintah oleh kerajaan yang berwajib untuk memboikot mereka bagi mencapai sesuatu maslahat kebaikan untuk Islam,
d) tiada sebarang bukti secara bertulis dan penghebahan rasmi syarikat bahawa mereka membantu dan menyumbang khas kepada serangan ke atas Islam, yang mana ia dibuat atas nama syarikat dan bukan salah seorang individu dalam syarikat sahaja.
Walaubagaimanapun, mendapat pahala bagi sesiapa yang melakukan boikot terhadap mana-mana barangan atau syarikat didasari oleh keyakinannya terhadap hasil kajiannya sendiri yang mendapati penglibatan yang tidak sihat tadi itu ada pada syarikat atau mana-mana pengeluar barangan. Tatkala itu, boikot adalah wajib ke atas dirinya sahaja dan digalakkan bagi sesiapa yang yakin dengan info yang dikeluarkannya.
Digalakkan juga umat Islam mengutamakan sayarikat Islam dan barangan keluaran Islam bagi membantu peningkatan ekonomi umat Islam. Ia juga adalah salah satu fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Saudi. Wallahu'alam.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

PANDUAN MENDIDIK ANAK




1) Jangan pukul anak dari lutut keatas

2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita utk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. Nanti anak jadi bertambah degil dan nakal dan tak boleh control.

3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak.

Sabda Rasulullah s.a.w.

“Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”

4). Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

5). Berikan anak anda pelukkan setiap hari. (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)

6). Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

7). Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan.
(Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

8). Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkaratermasuklah berbuat silap.

9). Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).

10). Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

11). Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

12). Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

13). Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

14). Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

15). Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

16). Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

17). Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

18). Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

19). Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.

20). Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

21). Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

22). Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

“Anak- Anak ibarat kain putih. Ibu bapa lah yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi”

Thursday, November 3, 2011

Isteri-isteri sentiasa dara




Seorang isteri mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dalam menjaga keharmonian rumah tangga. Oleh itu, adalah penting bagi seorang isteri untuk menjaga kecantikan luaran dan dalaman demi untuk memikat suami yang tercinta. Bukankah kecantikan seorang wanita itu harus ditunjukkan kepada yang lebih berhak iaitu seseorang yang bergelar suami?

Kita seringkali terdengar masalah rumahtangga yang melibatkan kecurangan suami yang menjalinkan hubungan sulit bersama wanita lain diluar. Apakah puncanya? (mari sama-sama fikirkannya) Teringat dahulu, ketika saya menghadiri kursus pra-perkahwinan.. Terdapat isu yang diutarakan oleh penceramah berkenaan punca perceraian yang disebabkan oleh kegagalan wanita menjaga penampilan selepas berumahtangga. Misalnya sebelum berkahwin segala-galanya dijaga, terutama pada mahkota kewanitaan wanita tetapi selepas memperolehi cahaya mata.. penjagaan diri semua terabai.. yang longgar dulu menjadi ketat (pakaian)..ada gak yang ketat dulu jadi longgar (ehem2..faham2 sendiri la yer)..

Mungkin ada yang bersetuju dan mungkin juga ada yang tidak bersetuju..Ini hanya pandangan peribadi penulis.. Tujuan utama penulisan ini adalah untuk berkongsi petua yang penulis temui tentang bagaimana para isteri dapat memelihara diri supaya menjadi sentiasa "anak dara" di mata suami..

Menurut Ustazah Dr. Fatima Az-Zahra petua ini diturunkan untuk kaum ibu supaya menjaga diri agar sentiasa menjadi seperti 'abqaro' menurut ayat di dalam Surah al-Waqiah.

('Abqaro' ini bermaksud perawan yang sentiasa menjadi perawan) Ayat ini elok untuk diamalkan setiap hari oleh kaum ibu untuk menjaga kesihatan luar dan dalam.

Caranya: Lepas solat Isya', ambil air segelas, baca Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqiah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Niat dlm hati utk menjaga kecantikan diri & utk kebahagiaan rumahtangga.

Makna surah Al-Waqiah ayat 35-38:

(56.35) Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

56.36) Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),

(56.37) Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya,

(56.38) (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan.

Selamat beramal para isteri-isteri. Semoga suami bertambah-tambah sayangnya :)
 
 

Tuesday, November 1, 2011

PELAJARI RAHSIA PENYAKIT MELALUI JARI ANDA



 Asas 5 jari

Jari telunjuk : ...
usus
Jari tengah : Jantung
Jari Manis : Imuniti
Jari kelingking : Rahim/Tulang Belakang


Cuba anda lihat pada ruas jari2 anda. Kalau ruas jari kehitaman tu maknanya badan kita ni penuh dengan racun dan toksik. Perkara tersebut boleh menyebabkan badan kita dijangkiti sembelit.

seterusnya, kalau kita sebagai seorang wanita, cara untuk tengok sistem dalaman perempuan kita pulak, adalah dengan melihat pada jari kelingking
kita.kalau jari kita meruncing atau bengkok, maknanya haid tak teratur,
keputihan, senggugut, dan berkemungkinan rahim kita jatuh.

Kalau tapak tangan berbintik maknanya masalah angin.cuba check tapak tgn
masing2, kalau yang suka marah2 tu mungkin angin dalam badan banyak.sebab itulah selalu rasa nak marah dan naik angin aje.

selain itu, pernah tak sahabat2 mengalami masalah tapak tangan berpeluh atau
lembab ke? jika ya, itu tandanya badan kita mudah diserang sel2 kanser.

jika perut ibu jari berwarna biru kehijauan maknanya seseorang itu mengalami
masalah resdung, alergi, dan penyakit paru2.sekiranya, perut ibu jari ada
urat hijau kebiruan maknanya anda seorang pengidap gastric.

selain itu, urat biru /hijau pada pergelangan tangan, tapak tangan, sepanjang jari dan betis kaki maknanya seseorang itu mengidapi stress atau tekanan dalam kehidupan sehariannya.

seterusnya,ini saya kira yang paling menarik untuk kita tengok sekiranya
kita sebagai seorang wanita. cuba sahabat2 tengok pada kuku setiap jari
anda..jika terdapat bulan sabit berwarna putih di setiap jari anda bermakna
anda mengalami hormon yang tidak seimbang.

tapi berlainan pulak sekiranya anda mempunyai bulan sabit yang berwarna
putih itu hanya pada ibu jari sahaja, itu menandakan anda seorang yang
sihat..insya allah...

Ramai manusia yang mengorbankan kesihatan pada satu ketika untuk mendapatkan wang ringgit, tetapi akhirnya terpaksa mengorbankan  wang ringgit untuk mendapatkan kembali kesihatan yang hilang.

WANITA.. AKAL SENIPIS RAMBUTNYA...




 Jangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.
Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.
Masih mencari walau ada segalanya.
Apa yang tiada dalam syurga?
Namun adam tetap rindukan hawa.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.
Untuk diluruskan oleh lelaki.
Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,
Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.
Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,
Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.
Didiklah mereka dengan panduan darinya.
Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar.
Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita.
Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.
Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman...
Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.

Suburkanlah ia kerana di situlah nantinya...
Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rabb...
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan..
Ia bukan diskriminasi Allah... sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah...

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya...
Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan...
Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus...
Bahkan akan semakin membengkok...
Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya...

Bila wanita menjadi derhaka... pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara....
Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata...
Tapi binalah kepimpinan...
Pastikan sebelum wanita menuju Ilahi, pimpinlah diri kepadanya...
Jinakkan diri kepada ALLAH...
Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu...
Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra'..
Seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali Karamallahuwajhah..


♦4 Golongan Lelaki yg Ditarik Oleh Wanita Ke Neraka♦







1 • Ayahnya
Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.....tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.


2 • Suaminya
Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri......walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya.


3 • Abang-abangnya
Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya.....jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM ....tunggulah tarikan adiknya di akhirat.


4 • Anak Lelakinya
Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari islam, maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak.......nantikan tarikan ibunya.

---------------------------------------------------------------

♦ Maka kita lihat bertapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat ♦ maka kaum lelaki yang bergelar ayah / suami / abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar ♦


Firman ALLAH S.W.T ~

"Hai anak adam peliharakanlah diri kamu serta ahlimu dari api neraka,
dimana bahan pembakarannya ialah manusia & batu- batu"

(surah At-Tahrim, ayat 6, juzuk 28)